Yusof Qaradawi diperdaya - Nazmi
KUALA LUMPUR 8 April - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa memperdaya ulama Mesir, Prof. Dr. Yusof Qaradawi berhubung dengan kes liwat yang sedang dihadapinya.
Bekas Setiausaha Perhubungan PKR Selangor, Mohd. Nazmi Rosli mendakwa, jawapan Yusof seperti tersiar dalam cakera padat video (VCD) yang kini diedar oleh PKR itu sebenarnya diberi berdasarkan pada soalan Anwar secara am.
Menurutnya, soalan Anwar tentang pandangan syarak mengenai pertuduhan fitnah tanpa bukti dan saksi itu sudah pasti dijawab oleh Yusof secara jujur tetapi tanpa mengambil kira keterangan daripada mangsa dalam kes liwat Penasihat PKR tersebut.
''Sedangkan dalam kes ini saksinya ialah mangsa sendiri iaitu Saiful Bukhari Azlan dan buktinya adalah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sekali gus ia bukanlah suatu fitnah.
''Kini VCD yang memaparkan jawapan ulama itu sedang hebat disebarkan ke seluruh negara. Siri ceramah Ketua Pembangkang itu juga berterusan menceritakan kisah yang dikelirukan ini kepada rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Nazmi bagaimanapun berkata, Anwar masih takut mendepani perbicaraan kes liwatnya itu dengan menggunakan pelbagai helah untuk menangguh dan menggugurkan kes tersebut termasuk mendapatkan campur tangan negara luar.
''Anwar kerap ke luar negara dengan alasan diundang untuk pelbagai majlis. Tidak mustahil Anwar menjadi 'Thaksin Malaysia' dan tidak kembali lagi ke negara ini jika beliau berasakan akan tewas pada perbicaraan kes liwatnya kali ini," katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan tidak boleh memandang ringan pendedahan Datuk S. Nallakarupan yang meramalkan beberapa tindakan mungkin dilakukan bekas rakan karibnya, Anwar demi 'survival' politiknya.
''Nallakarupan sangat mengenali Anwar dan mengetahui semua tipu helahnya setelah mereka bersahabat baik selama berpuluh-puluh tahun," katanya.
Selasa lalu, Nallakarupan mendedahkan, Anwar berkemungkinan besar merancang menuntut kemerdekaan Sarawak jika PKR menang pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
No comments:
Post a Comment