Wednesday, April 21, 2010

MEB perlu telus, kompetitif

SEJAK Model Ekonomi Baru (MEB) diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Mac lalu, banyak komen dan reaksi diterima daripada pelbagai pihak.

Ada reaksi yang positif dan sebaliknya. Justeru, penjelasan daripada pakar ekonomi dan ahli politik perlu bagi memahamkan rakyat tentang pelaksanaan MEB.

Antara yang memberi pandangan dan ulasan mengenainya adalah Ahli Parlimen dan bekas Menteri Kabinet, Datuk Seri Utama Shahrir Samad. Beliau menegaskan, orang Melayu mesti menerima MEB kerana antara lain ia bakal mewujudkan lebih banyak golongan pertengahan yang akan memberi manfaat kepada orang Melayu.

Menurutnya, antara faedah yang mereka akan dapat adalah menyertai program-program meningkatkan kemahiran dan menjalani latihan semula bagi membantu mereka memperoleh pendapatan lebih tinggi.
"Faedah ini bukan sahaja dinikmati oleh orang Melayu, malah semua kaum iaitu golongan miskin yang berpendapatan RM1,500 ke bawah berjumlah 40 peratus daripada penduduk negara ini akan dilibatkan dalam program-program tersebut.

"Sebanyak 40 peratus yang lain pula terdiri daripada golongan pertengahan iaitu mereka yang memperoleh pendapatan sebanyak RM3,000 ke bawah. Manakala baki 20 peratus adalah golongan kaya dan berpendapatan tinggi. Kedua-dua kumpulan sasar miskin dan pertengahan itu bakal mendapat banyak faedah daripada pelaksanaan MEB. Tentu sekali orang Melayu paling banyak menikmatinya memandangkan daripada keseluruhan jumlah itu, kira-kira 77 peratus daripada golongan pertengahan dan miskin adalah orang Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, berkata, apa yang bakal dilaksanakan bertujuan membawa rakyat ke satu tahap ekonomi berpendapatan tinggi. 

Mengikut statistik, pendapatan rakyat Malaysia sekarang adalah purata AS$7,500 (RM24,000), sedangkan Singapura yang lebih kecil dan tidak mempunyai sebarang sumber mencapai AS$32,000 (RM102,400). Justeru, agar tidak ketinggalan jauh dengan negara jiran, maka sesuatu perlu dilakukan bagi meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia.

Menerusi MEB kesemua program yang bertujuan meningkatkan kemahiran pekerja dan latihan semula akan disusun supaya sesuai dan dapat melonjakkan keupayaan mereka.

"Ini akan membolehkan mereka menikmati pendapatan yang lebih tinggi daripada sekarang. Namun, bagaimana kita boleh mencapai lonjakan itu," soal Shahrir.

Menurutnya, langkah pertama adalah mengenal pasti golongan 40 peratus tersebut sebagai kumpulan sasaran dan kemudian, menyediakan program latihan kepada mereka agar mempunyai kemahiran tertentu untuk melakukan pekerjaan yang berpendapatan tinggi.

Pekerjaan yang berpendapatan tinggi itu juga adalah sebahagian daripada proses untuk menaikkan keseluruhan struktur ekonomi negara ke arah melahirkan perniagaan dan usahawan bernilai tinggi meliputi bidang pembuatan, perkhidmatan dan sebagainya.

"Ini tidak bermakna mereka dilatih semula tanpa ada pekerjaan yang menunggu mereka. Peluang-peluang pekerjaan akan diwujudkan untuk mereka," katanya.

Mengulas adakah MEB merupakan puncak tinggi yang perlu didaki oleh golongan 40 peratus itu, Shahrir berkata, jika di bawah dasar perindustrian sekarang, ia hanya bermatlamat untuk mewujudkan pekerjaan bergaji rendah.

Maka sekarang adalah penting bagi industri dinaik taraf melalui peningkatan mekanisme dan teknologi. Para pekerja yang akan mengisi peluang-peluang pekerjaan kelak terdiri daripada bekalan pekerja yang sedia ada.
"Ini bermakna MEB akan melonjakkan mereka dari segi pendapatan. Mereka yang bekerja sendiri atau memiliki perusahaan kecil termasuk yang menceburi sektor pertanian, fokus mereka dalam sektor masing-masing harus diteruskan," katanya.

Shahrir meminta rakyat agar tidak salah faham bahawa bantuan yang diberi kepada orang Melayu bermaksud ia bertentangan dengan konsep 1Malaysia.

"Saya tidak fikir agensi seperti Mara akan ditutup. Saya percaya agensi yang dipertanggungjawabkan untuk membantu kaum Bumiputera melalui pinjaman dan bantuan kewangan akan terus memainkan peranan mereka.

"Malah, Mara ditubuhkan selepas negara mencapai kemerdekaan dan saya yakin tiada apa tentangan terhadap Mara selagi kumpulan- kumpulan sasar terus dibantu," tambahnya.

Mengulas perbezaan MEB dan Dasar Ekonomi Baru (DEB), kata Shahrir satu-satunya kritikan terhadap DEB adalah berhubung pelaksanaannya. Menurutnya, matlamat DEB adalah bagus tetapi pelaksanaannya telah dipesongkan apabila golongan yang tidak sepatutnya mendapat bantuan pun menerimanya.

"Mereka itu pula bukan dalam kumpulan 40 peratus miskin, sebaliknya daripada kumpulan 40 peratus pertengahan. Keadaan itu jelas berlaku selepas tahun-tahun 1990-an. Usaha melahirkan lebih ramai ahli perniagaan Melayu terkemuka menyaksikan 'dasar' siapa yang anda kenal akan memperoleh faedah dan muncul tanggapan bahawa mereka itu (yang dapat faedah) akan mengagihkan kekayaan ke peringkat bawah. Malangnya, ia tidak berlaku. Tetapi di bawah MEB, saya yakin mereka ini boleh bersaing berasaskan kepakaran teknikal berbanding dengan amalan siapa yang anda kenal," katanya.

Menjawab persoalan jika DEB tidak berjaya mewujudkan lebih ramai orang Melayu kaya, apakah MEB dapat melakukannya, Shahrir mendakwa DEB tidak berhasil melahirkan lebih ramai orang Melayu kaya kerana ramai yang mendapat faedah daripadanya tidak cekap.

Menurutnya, ia berlaku kerana kita pilih orang yang salah dan keputusan dibuat berasaskan pilihan peribadi para pemimpin.

"Oleh kerana itu, pelaksanaan MEB perlu lebih telus dan kompetitif serta pastikan orang Melayu yang mempunyai kemahiran dan kepakaran mampu bersaing," katanya lagi.

Justeru apakah yang sepatutnya dilakukan? Menjawab persoalan itu, beliau berkata pertumbuhan dan kekayaan tidak boleh diasaskan menerusi pinjaman semata-mata. Ia harus dicapai menerusi modal dan kita harus mewujudkan kekayaan yang tulen, bukannya kekayaan di atas kertas. 

Memang benar golongan 40 peratus yang miskin itu tidak memiliki modal, namun mereka mempunyai modal insan. Jadi, katanya, mereka perlu dilatih sebelum diberi modal, manakala golongan kelas pertengahan pula perlu kukuh dengan pendapatan yang lebih tinggi.

"Mereka yang berada dalam kelompok 20 peratus pula hendaklah memfokuskan tentang bagaimana modal mereka boleh dikembangkan," katanya.

Beliau kesal kerana ramai yang menjadi jutawan hanya selepas mendapat pinjaman, bukannya dengan menggunakan modal sendiri. Ia merupakan pengajaran yang boleh dijadikan iktibar terutama selepas krisis kewangan Asia berlaku pada tahun 1997 dan krisis ekonomi 2008.

"Oleh itu, kita perlu memperkasakan asas ekonomi. Dalam erti kata lain, kita harus ada modal yang tulen serta memiliki modal itu. Kita tidak boleh lagi membuat pinjaman atau berhutang terlalu tinggi dan kita perlu ada kepakaran," katanya.

Mengenai amalan menyewa lesen perniagaan atau permit daripada pihak lain atau rent-seekers, katanya, ia menjadi masalah apabila kita terlalu agresif hendak mewujudkan sebuah komuniti Melayu kaya dengan cepat.
Ini kerana, dalam masa yang sama mereka itu tidak menjalankan kerja, sebaliknya menyewa permit.

"Mereka sebenarnya memiliki lesen dan hak perniagaan untuk menjalankan bisnes tetapi mereka tidak melabur dengan modal sendiri. Rent-seekers inilah antara punca yang melemahkan orang Melayu," ujarnya.
Dalam hal ini, Shahrir berkata, kita mesti menggalakkan pelaburan modal dan pemilikan modal. Ini kerana, apabila mereka melabur dengan modal sendiri, maka mereka akan membuat kerja. Tetapi apabila mereka hanya menyewa lesen, mereka tidak akan membuat kerja, sebaliknya hanya menunggu pendapatan datang bergolek menerusi sewaan yang telah dibuat.

Justeru, kata Shahrir, apa yang paling penting kini dalam usaha negara mewujudkan ekonomi pendapatan tinggi, kita sepatutnya mewujudkan lebih banyak modal sendiri.

No comments:

Post a Comment