Gelombang pemimpin PKR keluar meninggalkan perjuangan Anwar
APA pun reaksi balas ekoran situasi sekarang, realitinya Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini mpama sebuah kapal yang bocor dan mungkin karam pada bila-bila masa.
Semakin ramai kelasi dan penumpang lari berenang ke kapal lain menyelamatkan diri.
'Juak-juak' Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mampu lagi bertahan untuk belayar bersamanya. Anwar dilihat lebih mengutamakan perjuangan peribadi daripada memperjuangkan rakyat.
Daripada pemimpin kanan, wakil-wakil rakyat, pemimpin akar umbi dan juga reformis sehinggalah kawan rapat Anwar, hampir setiap hari seorang demi seorang mengumumkan keluar parti.
Kelmarin, teman baik Anwar, Datuk Dr. Halili Rahmat membuat keputusan keluar parti kerana mendapati PKR bukan parti perjuangan untuk rakyat tetapi condong kepada mementingkan kuasa.
Beliau menjejaki langkah beberapa rakan akrab dan orang kanan Anwar yang lebih dahulu meninggalkan parti itu.
Ini termasuk Dr. Chandra Muzaffar, Datuk S. Nalakaruppan, Ezam Mohd. Noor, Ruslan Kassim, Annuar Shaari, Lokman Nor Adam dan Mohammad Zahid Md. Arip.
Nama-nama itu sangat sinonim dengan Anwar dan PKR atau dulunya Parti Keadilan Nasional.
Ada yang merupakan 'ayam tambatan' Anwar dan perancang utama gerakan reformasi dan demonstrasi besar-besaran di seluruh negara sekitar 1998 dan selepas itu.
Beberapa hari kebelakangan ini, berlaku gelombang keluar parti dalam PKR yang tidak mampu ditahan-tahan oleh Anwar.
Gelombang besar ini bukan datang semata-mata sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor seperti anggapan segelintir pihak termasuk pemerhati politik.
Sebaliknya, ribut dan angin kencang yang membawa kepada gelombang keluar parti dalam PKR itu telah bermula sejak berbulan-bulan lalu.
Mesej daripada gelombang pemimpin dan ahli-ahlinya keluar PKR itu bukan sukar untuk difahami oleh Anwar atau sesiapa sahaja.
Rakyat sepatutnya sudah dapat membaca dan menilai khususnya penyokong-penyokong setia Anwar yang masih berada dalam PKR.
Asal dan asas penubuhan PKR adalah demi memperjuangkan individu, iaitu Anwar. Maka, apabila semakin ramai yang menyedari hakikat asal usul dan asas PKR itu, gelombang keluar parti mudah untuk dijangka seperti yang berlaku sekarang.
Kepada yang dulunya ghairah menyokong Anwar atas dasar 'ikut-ikutan', sudah tiba masanya menilai semula pendirian itu. Lebih-lebih lagi sudah begitu ramai penggerak utama PKR meninggalkan parti.
Lebih menarik, tindakan mereka keluar parti telah membawa bersama dan mencetuskan pendedahan demi pendedahan mengenai rahsia perjuangan Anwar dan PKR oleh bekas 'orang kanan' yang rasa tertipu sebelum ini.
No comments:
Post a Comment